Saturday 24 September 2011

ADAM DAN PERISTIWA-PERISTIWA PENTING


Berikut dijelaskan melalui ayat-ayat Al-Quran mengenai peristiwa-peristiwa penting dan cerita yang ada hubungannya dengan manusia pertama iaitu ADAM A.S.

Firman Allah Taala dalam [Surah Al-Hijr: 26 - 29]
Maksudnya :
Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.
Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.
Dan (ingatkanlah peristiwa) tatkala Tuhanmu berfirman kepada malaikat : Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya
Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya ruh dari (ciptaan)-Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya.


Firman Allah Taala dalam [Surah Al-Baqarah : 30 - 34]
Maksudnya :
Dan ingatlah kepada Tuhanmu berfirman kepada malaikat : Sesungguhnya Aku hendaklah menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu? Tuhan berfirman: Sesunggunya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.
Dan ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu ia berfirman : Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar.
Malaikat itu menjawab: Maha Suci Engkau (Ya Allah) ! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana
Allah berfirman : Wahai Adam ! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: Bukankah Aku telah katakan kepada kamu bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan.
Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis : ia enggan dan takbur dan menjadilah ia dari golongan yang kafir
.


Firman Allah Taala dalam [Surah Al-Araaf: 12 - 13]
Maksudnya :
Allah berfirman : Apakah mani�nya yang menghalangmu daripada sujud ketika Aku perintahmu ? Iblis menjawab : Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api, sedang dia Engkau jadikan dari tanah.
Allah berfirman : Turunlah engkau dari syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina.


Firman Allah Taala dalam [Surah Al-Hijr : 34 - 40]
Maksudnya :
Allah berfirman : Kalau demikian, keluarlah sesungguhnya engkau dari sekarang ke masa depan adalah (satu makhluk yang) di usir.
Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat terus-menerus hingga ke hari kiamat.
Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat).
Allah berfirman : Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh.
Hingga ke hari - masa yang termaklum.
Iblis berkata : Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.
Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hamba-Mu yang dibersihkan dari sebarang syirik.


Firman Allah Taala dalam [Surah Al-Araaf: 16 - 19]
Maksudnya :
Iblis berkata : Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus.
Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapat kebanyakan mereka bersyukur.
Allah berfirman: Keluarlah engkau dari syurga sebagai makhluk yang terhina serta terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka yang menurutmu, tetaplah aku akan memenuhi neraka Jahanam dengan (golongan) kamu (yang derhaka) semuanya.
Dan wahai Adam ! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari orang-orang yang zalim. 


Firman Allah Taala dalam [Surah Taha : 117]
Maksudnya :
Maka Kami berfirman : Wahai Adam, sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita.

Firman Allah Taala dalam [Surah Al-Araaf: 20 - 20]
Maksudnya :
Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata : Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini,melainkan (kerana ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam syurga).
Dan ia bersumpah kepada keduanya (dengan berkata): Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua.
Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua ( ke dalam larangan) dengan tipudayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka: Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan Aku katakan kepada kamu, bahawa syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata ? 


Firman Allah Taala dalam [Surah Al-Baqarah : 37]
Maksudnya :
Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya ; sesungguhya Allah, Dia-lah yang Maha Pengampun (penerima taubat), lagi Maha Mengetahui.

Firman Allah Taala dalam [Surah Al-Araaf: 23 - 25]
Maksudnya :
Mereka berdua berkata : Wahai Tuhan kami! Kami telah menganiaya diri kami sendiri. Dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi.
Allah berfirman : Turunlah kamu semuanya, dengan keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain, dan bagi kamu disediakan tempat kediaman di bumi, dan juga diberi kesenangan hingga ke suatu ketika(mati).
Allah berfirman lagi: Di bumi itu kamu hidup dan di situ juga kamu mati, dan daripadanya pula kamu akan dikeluarkan (dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat).

No comments:

Post a Comment